SERDANG – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan bahawa sektor pertanian akan terus diperkasakan agar kekal menjadi antara penyumbang utama ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun peratusan dari segi sumbangan tidak lagi sebesar masa lalu, namun ia menjadi lebih penting selaras komitmen bkerajaan memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.
“Atas kesedaran bahawa sektor pertanian merupakan sektor ekonomi yang strategik serta melibatkan faktor sosial khususnya kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara, kerajaan akan terus beri tumpuan perkasakan sektor pertanian dan agro-makanan bagi menjamin bekalan makanan mencukupi dan selamat.
“Dengan jumlah penduduk Malaysia yang kian bertambah dan tuntutan global terhadap bekalan makanan, saya yakin bidang pertanian akan terus kekal menjadi sektor ekonomi yang penting bagi negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalannya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Bagi memastikan bidang itu terus berkembang seiring pembangunan negara, Muhyiddin mahu segala inisiatif untuk memodenkan sektor pertanian yang telah dimulakan kementerian dan agensi berkaitan diteruskan dengan memperkenalkan pelbagai teknologi dan inovasi terkini yang boleh mendokong usaha yang dilaksanakan pemain industri pertanian.
Beliau berkata pasaran yang terbuka memerlukan negara mempertingkatkan produktiviti dan mengurangkan kos khususnya melalui penggunaan teknologi dan kaedah pengeluaran terkini serta pengamalan budaya inovasi di mana Malaysia kini telah berada di landasan betul bagi terus memperkasa teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian dan agro makanan.- BERNAMA