KUALA LUMPUR – Pendekatan ‘semut api’ akan menjadi amalan kerja Pergerakan Puteri Umno dalam usaha memperkukuhkan barisannya pada masa depan, di samping mencontohi sifat mulia sembilan srikandi Islam bernama ‘Siti’.
Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sifat semut api, meskipun kecil namun mempunyai gigitan berbisa, bekerja secara berkumpulan dan rajin serta tidak pernah mengenal erti putus asa menjadi pendekatan pergerakan itu dalam mengatur strategi dan mewujudkan ‘barisan semut api’.
“Semut setia kepada ketua dan akan mempertahankan ‘rumah’ mereka daripada dicerobohi serta tidak akan tersesat kerana membina jaringan jalan sendiri selain bijak mengatur strategi.
“Inilah pasukan Puteri Umno. Dalam diam, kita atur strategi. Kita tepis segala propaganda dan fitnah di laman sosial,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Mas Ermieyati berkata mereka tidak berhadapan masalah untuk membentuk jentera parti yang kuat memandangkan pelbagai golongan profesional memilih untuk berjuang bersama-sama Puteri Umno.
Beliau mahu supaya anggota sayap itu berpegang teguh kepada semangat ‘P.U.T.E.R.I’ iaitu ‘Pejuang, Unik, Tekad, Elit, Realistik dan Intelek’.
Anggota Parlimen Masjid Tanah itu berkata anggota Puteri Umno tidak berasa ragu-ragu dalam perjuangan mempertahankan agama dan bangsa, dengan meneladani sifat sembilan srikandi Islam bernama ‘Siti’.
Sembilan Siti itu ialah isteri Rasulullah SAW iaitu Siti Khadijah yang setia dan Siti Aishah yang membantu berdakwah; Siti Fatimah (puteri Rasulullah SAW yang tinggi budi pekerti); Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim A.S yang patuh kepada suami) dan Siti Mariam (ibu Nabi Isa A.S yang pandai menjaga kehormatan diri.
Turut menjadi contoh Siti Asiah (isteri Firaun yang tidak gentar dengan ujian); Siti Aminah (ibu Rasulullah SAW yang mendidik baginda hingga menjadi insan mulia); Siti Zubaidah (isteri khalifah Harun Al-Rashid yang dermawan) dan Siti Muti’ah (isteri yang setia dan wanita pertama masuk ke syurga).
“Semangat dan aspirasi legasi sembilan Siti ini perlu diwarisi demi meneruskan perjuangan, mendukung serta mempertahankan parti. Mudah-mudahan kita mempunyai semangat dan aspirasi seperti mereka,” kata Mas Ermieyati.
Beliau turut mengingatkan pentingnya semua anggota Puteri Umno bekerja dalam satu pasukan untuk membantu parti tanpa mengharap ganjaran atau publisiti.
Kewujudan Puteri Umno pada 2001, kata Mas Ermieyati, bukan sekadar tempelan kepada parti bagi menarik golongan wanita muda dan profesional menyertai Umno.
“Pergerakan Puteri tidak boleh lagi dipandang enteng oleh masyarakat dan anggota Umno lain. Kita bukan diwujudkan untuk menjadi penyambut tetamu, kita bukan kerani, kita bukan maskot yang hanya menjadi ‘vogue’ di pusat pengundian atau penghias sesuatu majlis.
“Kita sayap yang ‘dilahirkan’ Umno sewaktu parti itu berusia 55 tahun dan kita adalah barisan wanita muda yang bertindak dan bergerak secara profesional di dalam parti,” kata Mas Ermieyati, yang menerajui sayap itu sejak setahun lalu.
Beliau berkata golongan wanita muda perlu memperkasakan diri dalam pembangunan ekonomi dengan menceburi bidang perniagaan dalam talian yang merupakan trend masa kini.
Justeru, katanya, kerajaan wajar menyediakan lebih banyak inisiatif kepada wanita muda untuk bekerja dari rumah bagi menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan.
Perhimpunan sayap itu dihadiri kira-kira 1,000 perwakilan terdiri daripada ketua bahagian, naib ketua bahagian, barisan exco serta pemerhati dari seluruh negara. – BERNAMA