Pasukan penyiasat mungkin memakan masa setahun untuk mengenalpasti punca pesawat pelancongan angkasa milik syarikat Virgin Galactic terhempas di gurun Mojave, California di Amerika Syarikat (AS) Jumaat lepas.
Pada satu sidang media semalam, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS, Christopher Hart berkata serpihan bangkai kapal angkasa SpaceShipTwo itu jatuh bertebaran dalam kawasan radius 8km panjang.
Ia mungkin satu petanda pesawat itu mula berkecai ketika penerbangan dan siasatan mungkin memakan masa sehingga 12 bulan, menurut laporan laman web straitstimes.com.
Pemilik syarikat Virgin Galactic Sir Richard Branson sementara itu, menyifatkan impiannya untuk menjadi perintis pelancongan angkasa lepas mampu milik masih ada biarpun kejadian itu menimpa syarikatnya.
Pesawat itu terhempas ketika dalam penerbangan percubaan meragut nyawa seorang juruterbang manakala seorang lagi cedera parah.
;
http://youtu.be/BL54-JVn8zg
Ketika kejadian, SpaceShipTwo terbang dengan menggunakan campuran bahan api baru yang direka khas untuk enjin pesawat itu, memetik laporan The Wall Street Journal (WSJ).
Jika beberapa penerbangan percubaan berjaya, pesawat itu sepatutnya akan membawa Branson keluar dari atmosfera dalam masa beberapa bulan lagi.
Syarikat berkenaan pula menjangkakan, perjalanan pelancongan dengan pesawat itu mungkin bermula seawalnya pada tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pangkalan Angkasa Mojave Air Stuart Witt berkata penerbangan itu bermula pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan dan SpaceShipTwo dipisahkan dari pesawat pengangkut pada kira-kira pukul 10.10 pagi.
Ia mengalami masalah kira-kira dua minit selepas itu sebelum terhempas. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K