KUCHING – Masyarakat disaran terlibat secara aktif dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan kampung dan perumahan yang merupakan antara langkah berkesan membanteras kejadian jenayah, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
Beliau berkata umum mengetahui tanggungjawab menjaga keselamatan adalah tugasan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kerjasama erat antara masyarakat dan pasukan keselamatan itu diyakini mampu mengurangkan terus kadar indeks jenayah.
“Persepsi tugasan menjaga keselamatan hanya tanggungjawab polis mungkin sudah kurang tepat. Demografi penduduk kini sudah berubah dibantu pula sikap kerjasama di kalangan masyarakat semakin kurang, begitu sibuk bekerja dan tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling sehingga mengakibatkan jenayah berlaku.
“Namun begitu apabila kejadian atau statistik jenayah meningkat, polis pula disalahkan, ini tidak betul. Kita (masyarakat) seharusnya membantu polis menerusi SRS, bekerjasama melalui rondaan di kawasan-kawasan berlakunya jenayah, apabila penjenayah lihat selalu ada rondaan mereka takut, seterusnya kadar jenayah pun turun,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak berkata demikian pada ucapan Majlis Penutup Rasmi Wacana Bestari: ‘SRS, Kenalkah Anda?’, di sini hari ini.
Sebanyak 210 peserta terdiri daripada ahli SRS, Rukun Tetangga, Ketua Masyarakat, wakil agensi-agensi kerajaan, dan ahli Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sekitar Kuching menghadiri seminar sehari anjuran Majlis Pembangunan Sosial Sarawak itu.
Daud berkata sebagai wakil rakyat beliau menyambut baik inisiatif pelaksanaan SRS itu.
“Saya sebagai wakil rakyat sangat bersetuju dengan SRS ini, kerana apa yang penting SRS ini membantu menjaga keselamatan penduduk. Namun begitu SRS perlu ingat kita hanya melakukan rondaan, tugas menghukum adalah bidang kuasa polis,” katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Tupong. – BERNAMA