SINGAPURA – Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh menuntut anak didiknya supaya mengutip tiga mata penuh ke atas Myanmar pada aksi pembukaan kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Jalan Besar, di sini, esok.
Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata, walaupun Myanmar bukan pasukan pilihan, pemain tidak seharusnya mengambil mudah pertemuan menentang pasukan kendalian Radojko Avramovic itu yang mampu melakar kejutan pada edisi ke-10 kejohanan bola sepak rantau Asia Tenggara itu.
“Saya lihat pemain agak serius. Kita pun ada buat tayangan video (beberapa perlawanan melibatkan Myanmar) sebentar tadi dan maklum balas para pemain cukup bagus.
“Kita kena menang perlawanan esok untuk kembalikan semula semangat para pemain. Kalau menang esok, Insya-Allah, saya percaya ia dapat mengubah moral pemain apabila menentang Thailand nanti,” katanya.
Dollah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad negara di venue berkenaan, hari ini.
Bekas pengendali kelab PDRM itu turut meminta barisan pertahanan negara untuk ‘merantai’ pergerakan beberapa tonggak utama Myanmar seperti Kyi Lin, Kyaw Zayar Win dan Kyaw Ko Ko yang mampu menghadirkan ancaman besar kepada kubu skuad negara.
Berkongsi pandangan yang sama adalah pengurus skuad kebangsaan, Datuk Sudarsono Osman yang menyifatkan perlawanan pembukaan esok bakal menjadi penentu hala tuju skuad negara dalam kejohanan kali ini.
“Kalau kita tengok, para pemain sudah nampak bersedia dan mereka tahu tugas (getir) yang menanti mereka dan saya berdoa mereka akan bangkit pada waktu yang diperlukan
“Kemenangan esok akan menyuntik semangat pemain selepas beberapa kekalahan sebelum ini,” kata Sudarsono yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sementara itu, pemain veteran negara, Mohd Shukor Adan menyeru rakan sepasukan untuk memberikan tentangan terbaik kepada Myanmar walaupun pasukan berkenaan tidak diletakkan sebarang harapan.
“Saya harap kita memberikan persembahan yang terbaik seperti apa yang terjadi pada 2010 di mana kita muncul juara Piala AFF Suzuki buat kali pertama,” kata kapten kelab Felda United FC itu.
Sementara itu, Avramovic berharap anak buahnya dapat memberi saingan yang terpuji dan meraih keputusan baik walaupun pencapaian antara kedua-dua pasukan itu sebelum ini lebih memihak kepada Malaysia.
Jurulatih dari Serbia berusia 64 tahun itu, yang lebih mesra dipanggil ‘Raddy’, juga mahu menandingi pencapaian Singapura dan Thailand walaupun ia tugas yang sukar.
“Malaysia menang sekali pada 2010, Singapura menang empat kali dan Thailand tiga kali…jadi kami akan cuba sampai ke tahap mereka.
“Sudah pasti kami mahu menang semua perlawanan dalam kumpulan tetapi melihat lawanan kami, ia agak suka untuk memperoleh keputusan positif tetapi berharap pemain akan menunjukkan aksi terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pengurusan pasukan.
Malaysia bakal berdepan Thailand pada aksi kedua kumpulan di venue yang sama manakala Singapura menentang Myanmar di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub dan kedua-dua perlawanan akan berlangsung Rabu ini. – BERNAMA