KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina 20,000 unit tambahan Rumah Mampu Milik (RMM) di sekitar Lembah Klang tahun depan.
Presiden SPNB Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata rumah jenis apartmen dan kondominium itu bakal dilengkapi semua kemudahan asas dan akan dijual mengikut harga sasaran antara RM250,000 dan RM500,000.
“Bagi kawasan Lembah Klang, agak sukar kita tawar rumah dengan harga bawah RM250,000 kerana harga tanah yang mahal namun kita cuba pastikan rumah tersebut dijual di bawah RM500,000,” katanya kepada pemberita bagi menjawab berhubung usul rumah mampu milik yang dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Umno 2014, di sini hari ini.
Beliau berkata SPNB juga akan membina 12,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara dengan harga RM65,000 seunit pada tahun depan.
Katanya RMR disasarkan kepada golongan berpendapatan sederhana di bawah RM3,000 sebulan dan kos pembinaan rumah itu kini tidak lagi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“RMR tidak lagi menerima pembiayaan penuh daripada kerajaan dan hanya diberi subsidi sebanyak RM20,000 dan baki kos pembinaan ditanggung oleh bank,” katanya. – BERNAMA