ALOR SETAR – Sumber air bagi aktiviti pertanian yang tidak diurus secara berhemah akan menyebabkan ia terganggu hingga menjejaskan penghasilan sumber makanan negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kini penggunaan air untuk pertanian perlu bersaing dengan sektor domestik dan industri, justeru pengurusan sumbernya perlulah berada pada tahap yang baik.
“Air ialah medium yang penting dalam aktiviti pertanian dan lebih malang jika tiada sumber air, aktiviti pertanian akan terganggu atau tidak dapat dilaksanakan, kesannya penghasilan sumber makanan negara akan berkurangan.
“Kesan perubahan cuaca juga menjejaskan kuantiti dan kualiti sumber air sedia ada, fenomena alam ini menghendaki pengurusan sumber air terutamanya dalam bidang pertanian dilaksanakan secara berhemah,” katanya pada Perasmian Persidangan Air Malaysia (PAM) 2014 dekat sini hari ini.
Dalam teks ucapan yang dibaca Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan), kementerian itu, Datuk Raihan Sharif, beliau berkata krisis bekalan makanan global pada 2008, menyedarkan semua bahawa jaminan bekalan makanan yang selamat, mencukupi dan mampu diperoleh rakyat perlu menjadi agenda utama setiap negara.
Ismail Sabri berkata bagi memastikan bekalan makanan negara berada pada tahap yang selamat, ia mampu dicapai dengan bekalan air yang mencukupi.
Beliau berkata keperluan air untuk sektor pertanian khususnya pengeluaran padi harus sentiasa terjamin bagi mengekalkan keperluan padi negara.
Sehubungan itu beliau berkata, pengurusan air perlu dilaksanakan secara lestari, cekap dan berkesan supaya air yang berkualiti dapat dibekalkan dengan cukup tanpa pembaziran. – BERNAMA