KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mahu semua kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) membangunkan Tanah Rizab Melayu untuk memberi pulangan kepada rakyat.
Presiden UMNO itu berkata, Tanah Rizab Melayu juga perlu dipertahankan dan sebarang kawasan yang dibangunkan perlu diganti.
“Saya minta semua Menteri Besar di negeri yang dikuasai kita pastikan jika tanah rizab itu jika dibuka untuk pembangunan mesti diganti. Kedua tanah rizab bukan rizab sahaja tetapi dibangunkan.
“Kita tidak boleh bangga dengan jumlah tanah tetapi pulangan daripada pembangunan,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata kekangan perundangan bagi membangunkan Tanah Rizab Melayu akan diatasi dengan pindaan terhadap Kanun Tanah Negara dan Undang-Undang Tanah Negeri.
“Sekarang ini ada kekangan dari segi kanun tanah negara dan kanun tanah negeri. Satu jawatan kuasa sudah ditubuhkan dan laporannya sudah dikemuka dan semua undang-undang berkaitan akan dibuat pindaan supaya Tanah Rizab Melayu ini dapat dibangunkan,” katanya. – BH Online