KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mencabar Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tian Chua mendakwa, Anifah sebagai seorang Ahli Parlimen perlu membuat laporan tersebut kerana itu tanggungjawab beliau sebagai seorang pemimpin negara dalam sesuatu perkara membabitkan isu rasuah.
“Mengapa Anifah tidak membuat laporan SPRM. Laporan `The Star’ menyebut kejadian itu berlaku pada Mei 2008 sedangkan Anifah kata dia tidak ingat mengenainya secara terperinci,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Tian Chua mencabar Anifah membuat laporan SPRM ke atas Anwar yang merupakan Ketua Umum PKR memandangkan dakwaan itu sangat serius.
“Jika tidak kredibiliti beliau (Anifah) akan dipersolah bahawa semua dakwaan itu cuma mahu menjatuhkan Anwar dan pembangkang,” dakwanya.
Anifah semalam mendedahkan, seorang ahli perniagaan yang berkait rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan RM100 juta kepadanya bagi membawa 10 ahli Parlimen dari Sabah menyertai pakatan pembangkang dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008.
Menteri luar itu dipetik berkata, beliau terasa “murah” apabila tawaran itu diajukan bekas timbalan pengerusi eksekutif KFC Datuk Ishak Ismail pada satu pertemuan di Hilton Central, Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Kimanis itu bagaimanapun dilaporkan tidak dapat mengingati tahun atau bulan kejadian itu berlaku.