SINGAPURA – Peminat Harimau Malaya berpeluang membeli tiket perlawanan untuk Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di 62 buah pejabat pos Singapore Post (SingPost) bermula 4 November dengan tiket paling murah berharga S$18 (kira-kira RM46).
Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), Zainudin Nordin dalam kenyataan media, tiket turut boleh diperoleh menerusi laman web Sports Hub, pejabat Stadium Tertutup Singapura dan tempahan menerusi telefon 6333 5000 atau 3158 7888 dari Singapura.
Tiket dibahagi kepada 4 kategori daripada serendah S$18 untuk tiket individu kategori 4 sehingga paling mahal S$48 (RM124) untuk individu kategori 1. Harga berkenaan tidak termasuk diskaun 15 peratus dan kadar konsesi untuk rakyat Singapura.
Ini merupakan kali pertama Singapura akan beraksi di Stadium Nasional yang baharu diubah suai untuk temasya Sukan SEA XXVIII tahun depan sempena jubli emas ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-50 Singapura pada 2015, selain venue sedia ada di Stadium Jalan Besar.
Republik tersebut dijadual menentang Thailand, Myanmar dan Malaysia di Stadium Nasional yang terkenal dengan sejarah slogan ‘Sorakan Kallang’ masing-masing pada 23, 26 dan 29 November manakala sepak mula perlawanan ditetapkan pukul 8 malam.
Manakala tiket di Stadium Jalan Besar diputuskan pada harga S$18 untuk tempat duduk biasa dan S$26 (kira-kira RM67) untuk grandstand melibatkan Malaysia-Myanmar (23 November), Malaysia-Thailand (26 November) dan Myanmar-Thailand (29 November).
– MYNEWSHUB.CC