KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan memenuhi permintaan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menjadi penaung persatuan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata, kesudian Tunku Ismail itu merupakan penghormatan dalam memperjuangkan profesionalisme pemain bola sepak tempatan.
“Pemilihan TMJ selaku Penaung PFAM disebabkan nilai yang diterjemahkan sendiri oleh baginda yang begitu profesional dalam membantu pembangunan bola sepak negara.
“Malah, TMJ juga sangat arif dalam selok-belok pengurusan bola sepak dan sememangnya ia akan membantu PFAM dalam merangka pelbagai usaha untuk membela hak dan kebajikan para pemain,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Izham berkata, persetujuan itu dicapai dalam satu pertemuan antara beliau dan Presiden PFAM, Hairuddin Omar dengan Tunku Ismail baru-baru ini yang memperlihatkan aspirasis baginda untuk mempertingkatkan profesionalisme bola sepak Malaysia.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, PFAM masih merupakan persatuan yang bebas yang memperjuangkan kebajikan pemain bola sepak negara dan perkara itu diperakui sendiri oleh TMJ.
Justeru, beliau berharap kehadiran TMJ dalam PFAM akan menarik lebih ramai pemain bola sepak negara menjadi ahli PFAM demi masa depan mereka.
“Ini juga merupakan sebuah manifestasi jelas untuk memastikan karier pemain bola sepak profesional lebih dihormati seperti bidang profesional lain,” katanya.