BEIJING – Biasa kita dengar ada wanita sanggup melakukan pembedahan kosmetik bagi mencantikkan wajah mereka yang mungkin dianggap hodoh, tetapi kini di China, ramai rakyatnya dilaporkan menjalani pembedahan suara menjadi lebih maskulin atau feminin.
Akhbar tempatan mendedahkan seorang doktor klinik swasta yang enggan didedahkan identiti mendakwa sudah berjaya melakukan pembedahan ke atas lebih 200 pesakit sejak empat tahun lalu dan kebanyakan pelanggannya ialah golongan pondan atau penkid.
Lazimnya kelompok keliru jantina atau transgender itu menjalani pembedahan suara selepas pembedahan penukaran jantina selain pesakit yang semula jadi ada masalah percakapan akibat pita suara cedera seperti gagap, sengau, kemalangan atau cacat lahir.
Seorang pesakit lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Lu Xiang, 23 tahun, berkata, dia terpaksa melakukan pembedahan suara kerana diejek rakan sekerja apabila nada suaranya tinggi seperti wanita maknyah dan sukar dapat kekasih kerana dianggap kurang jantan.
“Setelah akil baligh, suara saya tidak dalam macam remaja lelaki dan sering disalah anggap perempuan apabila ada orang menelefon, bahkan lebih teruk ada ingat saya gay,†kata pemuda itu yang akan menjalani pembedahan memotong tulang rawan pangkal tenggorok.
Kebiasaan doktor akan menyuntik botox ke bahagian pita suara selepas habis pembedahan bagi menjadikan pita suara lebih pendek, mendatar serta suara dalam gaya maskulin sejati namun otot boleh kaku dan suntikan kena diulangi beberapa kali pada waktu ditetapkan.
Bagaimanapun pakar bedah plastik ternama di London, Dr. Alasdair Mace mendakwa, pembedahan suara sedemikian ada kesan sampingan berbahaya termasuk jangkitan radang paru-paru atau hilang pertuturan buat sementara jika tersilap sedikit. – Agensi