SINGAPURA – Setelah mencuba sebanyak tiga kali, seorang pegawai syarikat katering tempatan, G. Jaishanker, 49 tahun, akhirnya berjaya membawa pulang hadiah sebuah kereta jenama Subaru model terbaharu Forester bernilai S$85,000 (kira-kira RM219,500).
Dia malah berjaya cipta rekod baharu dalam pertandingan Cabaran Subaru Ke-13 anjuran pengeluar automobil Jepun itu dengan memegang kereta tersebut tanpa henti sehingga 82 jam 16 minit 58 saat di pekarangan Ngee Ann City’s Civic Plaza awal pagi hari ini.
Warga Singapura itu pada tahun lalu cuma menang tempat keempat yang dimenangi Yusman Wright juga dari Singapura, dengan catatan masa 75 jam 1 minit namun pada 2012, dia nyaris menjadi juara sebelum tumbang kerana kurang pengalaman waktu itu.
“Tiada yang mustahil dan saya fokus pecah rekod tahun lalu,†katanya kepada media sambil ditemani isterinya dalam cabaran unik yang disertai 400 peserta termasuk dari China, Hong Kong, Filipina, Indonesia, Kemboja, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Kejohanan bermula pukul 1 petang Sabtu lalu dengan semua peserta diizin berhenti rehat selama lima minit setiap enam jam dan berakhir setelah peserta kedua terakhir, Analiza Mokhtar, 36 tahun, menamatkan cabaran pukul 12.45 tengah malam pada 12 November.
Sejurus peserta wanita yang juga warga Singapura dan pernah lapan kali menyertai cabaran tersebut mengangkat tapak tangannya itu, maka Jaishanker yang masih lagi memegang hud kereta Subaru tersebut diisytiharkan sebagai pemenang. – Agensi