KUALA LUMPUR – Kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun depan hanya enam peratus dan bukannya 24 peratus, seperti dakwaan pihak tertentu yang jelas bertujuan mengelirukan rakyat.
Bendahari Umno Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata GST adalah sistem cukai yang lebih telus, cekap dan bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Bila kita (dakwaan pihak tertentu) kata 24 peratus, inflasinya (negara) akan menjadi (meningkat kepada) 18 peratus…takkanlah kita hendak menjahanamkan negara kita.
“Kalau 18 peratus, tinggi kadar inflasi kita, maka ekonomi kita akan jatuh,” katanya ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2014, di sini hari ini.
Dakwaan 24 peratus GST oleh pihak tertentu itu kononnya berdasarkan rantaian jualan barangan dari kilang sebanyak enam peratus, pengedar (6 peratus), pemborong (6), dan peruncit (6), yang akhirnya berjumlah 24 peratus ditanggung pengguna (rakyat).
Ahmad Husni, yang juga Menteri Kewangan Kedua, berkata pelaksanaan GST akan meningkatkan pendapatan negara yang akan digunakan kembali untuk memberi faedah kepada rakyat sekali gus mencapai status negara maju.
Katanya sehingga kini sebanyak 172,000 syarikat telah mendaftar untuk GST berbanding 63,000 syarikat yang mendaftar di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Sebelum ini, kerajaan menyasarkan 300,000 syarikat berdaftar dengan GST menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa hasil pertemuannya dengan wakil badan dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan agensi penarafan Moody’s Investors Service mendapat respons positif dengan mereka memuji kedudukan ekonomi negara yang kukuh, malah akan berjaya mencapai sasaran menjadi negara maju pada 2020.
“Mereka kata Malaysia akan capai lebih tinggi lagi malah kita akan jadi negara unggul selepas menjadi negara maju pada tahun 2020,” katanya.
Menyentuh tentang hutang negara tinggi yang dibangkitkan pembangkang, beliau berkata kadar hutang Malaysia masih rendah berbanding negara lain seperti Singapura, Jepun, China dan Amerika Syarikat.
Husni berkata tahun lepas hutang Malaysia berada pada tahap RM539 bilion berbanding Singapura RM1 trilion, Jepun RM38 trilion, China RM7 trilion dan Amerika Syarikat RM55 trilion. – BERNAMA