KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan memantapkan pengeluaran ahli teknologi berkualiti bagi memenuhi aspirasi negara dengan menawarkan tiga program baru teknologi kejuruteraan mulai sesi pengajian 2015/2016.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, tiga program itu akan ditawarkan melalui Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) yang diwujudkan pada 2011 dengan harapan melahirkan lebih banyak jurutera teknologi yang kompeten.
Tiga program berkenaan ialah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Teknologi Sukan), Teknologi Kejuruteraan Kimia (Teknologi Agromakanan) dan Teknologi Kejuruteraan Awam (Teknologi Bangunan) yang bakal melengkapi 16 program ditawarkan oleh fakulti itu sehingga kini.
Pendidikan teknikal dan kejuruteraan yang lebih realistik merupakan suatu agenda penting dalam usaha menyokong pertumbuhan industri negara memandangkan kurikulumnya yang menyeimbangkan kemahiran kerja dan ilmu pengetahuan teori, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr Kamarudin berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kini rancak menawarkan pelbagai program Teknologi Kejuruteraan sebagai tambahan kepada penawaran bidang kejuruteraan konvensional.
“Selain Unimap, MTUN yang dianggotai Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) berharap penawaran kursus baharu ini mampu menjadi inisiatif yang sangat signifikan bagi mencapai cita-cita dan harapan kerajaan masa kini.
Program-program Teknologi Kejuruteraan ini mengguna pakai pendekatan kurikulum yang seimbang di antara pengetahuan teori dan kemahiran gerak kerja dengan setiap pelajar akan dipastikan mempunyai asas teori yang kukuh di samping mampu menterjemahkannya dalam bentuk aplikasi.
“Pengakhirannya, graduan yang dilahirkan bakal menjadi teknologis kejuruteraan yang akan berperanan membangun dan mengaplikasikan teknologi mapan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti di semua sektor pekerjaan baik ekonomi, perindustrian seperti pembuatan, pertanian, pembinaan, elektrik, elektronik mahupun perkhidmatan,†katanya.
Menurutnya, menerusi aspek pembelajaran, graduan teknologi kejuruteraan akan berdepan dengan pendekatan praktikal yang lebih banyak yang mana secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran teknikal.
“Pendekatan kurikulum seimbang sebegini merupakan cerapan dari pendekatan yang telah terbukti keberkesanannya di Jerman, Korea, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara maju yang lain. Jadi saya merasakan pendekatan sebegini akan lebih memudahkan pelajar,” katanya.
Graduan yang akan bergelar teknologis ini merupakan modal insan mahir yang terus boleh diserap ke mana-mana industri tanpa perlu dilatih semula dalam bentuk latihan jangka panjang.
“Mereka akan menjadi pelaksana penting kepada setiap reka bentuk dan teknologi yang dicetuskan oleh jurutera. Oleh sebab itu seseorang ahli teknologi amat memerlukan kemahiran praktikal yang tinggi di samping tidak meninggalkan penguasaan asas teori kejuruteraan, teknikal dan matematik,” tambahnya.
Kamarudin berkata, bidang kejuruteraan konvensional dan bidang teknologi kejuruteraan tidak akan membawa perbezaan taraf, namun yang membezakan hanyalah jenis pekerjaan. – BERNAMA