Visual Presiden Russia Vladimir Putin meletakkan memakaikan jaket kepada isteri Presiden China Xi Jinping telah mencetuskan ketegangan dalam media sosial di China sehingga memaksa kerajaan China mengeluarkan maklumat berkaitan kejadian itu dari internet.
Ketika ini, seramai 21 pemimpin dunia Asia-Pasifik sedang berkumpul di Beijing China untuk menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang dijadual berlangsung sehingga hari ini.
Semalam, dalam satu majlis berkaitan APEC di perkarangan bangunan ikon sempena Sukan Olimpik, Beijing 2008 Water Cube, kerusi Putin disusun untuk duduk di sebelah isteri Xi, Peng Liyuan yang duduk di sebelah suaminya.
Insiden berlaku apabila Xi sedang berbual dengan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama di sebelah kanannya tidak menyedari ketika itu Putin menyarungkan jaketnya kepada Peng.
Memetik laporan foreignpolicy.com, berkemungkinan Peng membuat dialog biasa seorang wanita yang kesejukan seperti “Terasa sejuk pula di sini” sehingga membuatkan Putin bangun dan menyarungkan jaket tebal berkenaan.
Peng senyum, mengucapkan terima kasih dan kemudian mengantikan jaketnya dengan sehelai jaket diberikan pembantu di belakangnya.
Kejadian itu dirakam keseluruhan oleh stesen televisyen China, CCTV dan pengulas difahamkan bercerita mengenai kejadian berkenaan.
Beberapa agensi besar berita di China seperti Sina dan Phoenix Media segera memuatnaik insiden berkenaan yang kemudiannya menjadi viral dalam sekelip mata di laman sosial.
Pengguna aplikasi Weibo, Twitter versi China turut memetik insiden itu dengan mengatakan “Putin memberikan Peng Liyuan jaket miliknya,”.
Ketika itulah kerajaan China bertindak menapis insiden itu dan memadamnya semua dari laman sosial dalam masa hanya beberapa jam.
Visual itu turut dipadamkan di laman web berita di China.
Kerajaan China sebenarnya sentiasa mahu memperlihatkan imej yang baik di mata dunia khususnya ketika menjadi tuan rumah sidang kemuncak APEC.
Selain itu, China juga mengawal media dan agensi berita mereka khususnya dalam melindungi reputasi pemimpin kerajaan dan nama-nama pemimpin tinggi China merupakan antara yang sering dilindungi maklumat atau bahan mengenai mereka dari dikeluarkan di internet. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KÂÂ