SINGAPURA – Biarpun teruk dikritik peminat tempatan, pihak pengurusan liga bola sepak berprestij Singapura atau S.League tetap mempertahankan tindakan mereka merombak keseluruhan sistem liga itu untuk musim 2015, lapor akhbar tabloid popular Today hari ini.
Jurucakap S.League berkata, perubahan wajah liga terpaksa dibuat demi menjadikan ia lebih kukuh dan kompetitif sekali gus menarik ramai peminat datang ke venue dan memeriahkan stadium menyaksikan perlawanan berbanding hanya menonton menerusi televisyen.
“Inisiatif ini menawarkan perlawanan lebih berkualiti. Kami beri jaminan tiada pemotongan dana kewangan dan ini bermakna S.League ada banyak sumber untuk mengukuhkan liga profesional ini,†kata seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Di bawah pakej pembaharuan tersebut, S.League hanya akan melibatkan 10 pasukan selain pelaksanaan umur minimum dan maksimum pemain serta pengenalan pelbagai inisiatif untuk menarik ramai pemain asing beraksi di liga yang diwujudkan FAS sejak 1996 itu.
Setiap pasukan akan dihadkan memiliki pemain berumur paling tua iaitu 30 tahun ke atas manakala pemain muda bawah 25 tahun digalakkan untuk diambil yang bertujuan bagi membentuk kombinasi pemain berpengalaman bersama-sama bakat baharu.
“Pengalaman FAS mendapati, adalah ideal liga ini dikecilkan jumlah pasukan seterusnya sokongan peminat tempatan lebih jitu,†kata pegawai tersebut merujuk laporan Woodlands Wellington dan Hougang United bergabung ekoran rombakan format S.League itu.
Liga itu diwujudkan ekoran tindakan pasukan kebangsaan Singapura menarik diri daripada Piala Malaysia pada 1994 dan untuk musim 2015, setiap pasukan akan bermain 27 kali perlawanan dalam format tiga pusingan dari Februari sehingga Oktober. – Agensi