KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 23 kontraktor kelas F termasuk seorang kontraktor wanita hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan media memberitahu, kesemua mereka ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu terhadap projek baik pulih
rumah nelayan di sekitar kawasan Dungun dan Paka di Terengganu.
“Kesemua individu tersebut merupakan kontraktor yang dilantik di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) bagi Parlimen Dungun dan Paka.
“Mereka yang ditahan berumur antara 30 hingga 50 tahun di bawa ke pusat operasi SPRM di Dungun kira-kira pukul 12.00 tengah hari ini untuk membantu siasatan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, siasatan kes itu di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Mynewshub.cc difahamkan kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu pagi esok. – mynewshub.cc