Taipei – Satu kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan lelaki yang cuba berhenti merokok semakin banyak menghisap rokok sebaik melihat gambar wanita cantik.
Menurut penyelidik dari Taiwan itu, wajah wanita cantik merangsang pemikiran lelaki untuk menganggap keadaan semasa lebih penting berbanding masa akan datang atau dengan perkataan lain, pengaruh nikotin lebih diperlukan daripada kesihatan – menyebabkan impian mereka untuk berhenti merokok, musnah.
Kajian itu dilakukan dengan membabitkan 76 responden lelaki yang dalam proses berhenti merokok.
Responden dibahagi kepada dua kumpulan. Separuh daripadanya diberikan gambar wanita cantik berpakaian seksi. Manakala yang lain diberikan gambar wanita berwajah sederhana.
Semua responden kemudian diberikan ujian penilaian daya tumpuan dan didapati, pemikiran mereka yang melihat wanita cantik mudah terganggu.
Ujian terakhir dilakukan dengan membawa responden ke sebuah bilik merokok. Mereka dibenarkan menghisap rokok sambil mengisi borang kaji selidik.
Hasil kajian mendapati, responden yang ditunjukkan gambar wanita cantik mudah tergoda malah menghisap rokok dua kali ganda lebih banyak.
Penyelidik dari Univerisiti Perubatan Kaohsiung itu merumuskan, gambar wanita cantik dapat mengurangi daya kawalan minda untuk menahan daripada merokok dan tidak semuanya yang cantik itu baik. – Agensi