HASRAT pelakon Zalif Sidek untuk bergaya dan melaram dengan pakaian baharu sempena Anugerah Skrin yang bakal berlangsung esok musnah apabila dia dilaporkan disamun individu yang menyamar sebagai peminatnya, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku selepas Zalif mengeluarkan wang dari mesin teler automatik (ATM) di pusat membeli-belah The Curve.
“Semalam selepas keluarkan duit untuk beli pakaian sempena ASK 2014 esok. Saya perasan ada orang mengekori saya dari belakang dan ketika masuk ke sebuah butik, individu itu menyapa saya dan meminta untuk mengambil gambar bersama.
“Saya sangkakan dia adalah peminat dan ketika di kaunter pembayaran barulah saya sedar yang beg duit saya sudah disamun,” katanya memetik laporan mStar.
Insiden itu telah menyebabkan dia kerugian wang tunai RM1,000 bersama kad pengenalan dan beberapa kad bank.
Zalif sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Mutiara Damansara, kira-kira jam 10 malam hari yang sama.
Berikutan itu, Zalif terpaksa menghadiri ASK 2014 dengan hanya menggayakan pakaian yang sedia ada dalam koleksinya untuk bersama-sama memeriahkan majlis yang mengiktiraf pencapaian anak seni daripada bidang lakonan dan pembuatan filem serta telefilem. – MYNEWSHUB.CC