Semalam, dua wanita dan seorang lelaki ditahan di hadapan Istana Kehakiman kerana didapati menjual buku yang mengandungi sindiran terhadap institusi kehakiman.
Berdasarkan laporan yang diterima, salah seorang yang ditahan merupakan isteri kepada kartunis pro pembangkang, Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque.
BACA: Isteri Kartunis Zunar Ditahan Jual Buku Sindir Ins. Kehakiman
Mereka didapati sama-sama mempamer dan menjual buku-buku tersebut semasa prosiding rayuan kes liwat II Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka telah ditahan kira-kira jam 6.50 petang oleh anggota polis yang berpakaian preman selain kesemua bahan jualan dirampas. Mereka kemudiannya dibawa menaiki sebuah van ke ibu pejabat polis daerah untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid mengesahkan laporan penahanan tersebut, termasuk isteri Zunar.
Walau bagaimanapun, Zunar menerusi laman sosial Facebook peribadinya menafikan khabar tersebut. Menurutnya, ketiga-tiga individu yang ditahan merupakan pembantunya yang dikenali sebagai Rizaldy, Raja Norita dan Norliza Mohd Kassim.
Menurut sumber laman sosial kartunis itu lagi, ketiga-tiga mereka yang ditahan telah dibebaskan tengah malam tadi. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR