GEORGE TOWN – Dua belas atendan parkir haram ditahan dalam dua operasi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bersama polis setakat ini, kata Pengarah Korporat MPPP Mohamed Akbar Mustapha.
Beliau berkata berikutan isu atendan parkir haram di Bukit Bendera pada 1 Dis lepas, pihaknya bersama polis telah mengambil langkah yang lebih agresif dengan mempergiat operasi di setiap kawasan panas.
“Operasi menangani masalah atendan parkir haram bersama polis diadakan pada 6 Dis bermula pukul 8.30 malam hingga 2 pagi. Semasa operasi itu sebanyak 11 tangkapan dibuat dan tindakan lanjut telah diambil oleh polis.
“Satu lagi operasi diadakan semalam bermula pukul 9 malam hingga 1.30 pagi oleh MPPP melibatkan satu satu tangkapan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Pada 1 Dis lepas, seorang lelaki Theam Ah Soo, 52, cedera di mata dan dada selepas dipukul dengan topi keledar oleh seorang atendan parkir haram di kawasan parkir percuma milik Perbadanan Bukit Bendera di Air Itam, di sini.
Mohamed Akbar berkata MPPP akan terus menjalankan operasi terhadap atendan parkir haram di kawasan panas di negeri ini antaranya Stesen Kereta Api Bukit Bendera, Lorong Selamat, Padang Kota Lama, Jalan Datuk Keramat, Jalan Penang, Lebuh Chulia, Jalan Macalister dan Lorong Abu Siti, di sini.
Beliau berkata bagi tujuan operasi bersepadu dengan polis, MPPP akan menambah 20 anggota pembantu penguatkuasa.
Dalam pada itu, Mohamed Akbar berkata pihaknya turut meletakkan papan tanda khas di 12 lokasi dalam usaha menangani masalah atendan parkir haram itu di Bukit Bendera, Persiaran Gurney, Jalan Macalister, Jalan Burma, Padang Kota Lama, Taman Free School, Taman Tun Sardon, Lebuh Chulia, Jalan Penang, Jalan Datuk Keramat, Jalan Jelutong dan Lorong Selamat.
“Papan tanda itu tertera logo MPPP dan polis serta peringatan kepada orang awam ‘Jangan Layani Atendan Parkir Haram’. Selain itu papan tanda itu turut dilengkapi talian hotline MPPP dan polis untuk memudahkan orang ramai menghubungi pihak berkuasa sekiranya ada kegiatan atendan parkir haram,” katanya. – BERNAMA