KOTA KINABALU – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dua tertuduh dalam insiden pencerobohan Lahad Datu membekalkan ikan goreng kepada sekumpulan penceroboh.
Koperal Sokongan, Mohd Asran Mandung, 38, berkata Kadir dan Lating yang beliau sifatkan sebagai orang muda, melintasi beliau dan pasukannya ketika mereka menjaga kawasan di belakang dinding konkrit pada 4 Mac tahun lepas.
Katanya, kedua-dua tertuduh itu berjalan di jalan utama di Tanjung Labian di Lahad Datu dan sedang datang dari arah Sungai Bilis.
“Kadir membawa bungkusan plastik hijau yang kemudiannya didapati mengandungi beberapa ikan goreng,” katanya.
Mohd Asran yang berpangkalan di Batalion 17 di Lahad Datu, berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datuk, Februari tahun lepas.
Kadir dan Lating yang diwakili peguam Datuk N Sivananthan, menghadapi pertuduhan melindungi sekumpulan pengganas, kesalahan yang membawa hukuman penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
Peguam: “Sepanjang perbicaraan dan dokumen-dokumen yang dikemukakan, tiada sesiapapun ditangkap hasil maklumat mengenai apa yang dipanggil kumpulan penceroboh yang Kadir dan Lating dikatakan menghantar ikan kepada mereka.”
“Saya katakan kepada anda bahawa keseluruhan cerita mengenai kumpulan penceroboh menunggu ikan goreng dari Kadir dan Lating adalah sama ada sebahagian daripada imaginasi kamu atau sesuatu yang kamu disuruh untuk memberitahu di mahkamah.
Mohd Asran: “Saya tidak bersetuju.”
Peguam: “Saya memberitahu kamu bahawa apabila Kadir ditangkap, dia memberitahu kamu dengan jelas bahawa dia membawa ikan itu ke rumah neneknya di Tanjung Labian dan dia datang dari Sungai Bilis dan tinggal dalam bot di sana.”
Mohd Asran: “Saya tidak bersetuju.”
Semasa prosiding, Sivananthan merujuk Seksyen 113 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk membolehkan Kadir menggunakan haknya untuk mengemukakan kenyataannya yang direkodkan secara bertulis oleh ASP Rujiman Agus.
Kepada soalan Sivananthan, saksi itu bersetuju bahawa berdasarkan kenyataan, ia dibuat oleh Kadir pada 11 malam, sehari selepas ditangkap, tetapi tidak mempercayainya.
Menurut peguam itu, alamat Kadir dalam kenyataan itu menyebut ‘Dalam perahu, Sungai Bilis atau di atas bot di Sungai Bilis.”
Ketika ditanya mengenai apa yang difahami tentang petikan kenyataan itu, Mohd Asran berkata Kadir membawa ikan goreng itu ke rumah neneknya di Tanjung Labian, tetapi mendakwa fakta itu bercanggah.
“Kalau apa yang peguam kata bahawa Kadir tinggal dalam perahu, jadi buat apa dia bawa ikan itu ke rumah neneknya? Adakah dia (Kadir) tinggal di rumah atau dalam perahu?)” beliau bertanya.
Jawapan Mohd Asran mendorong Sivananthan untuk bertanya sama ada ia luar biasa kepadanya bahawa Kadir yang tinggal di dalam perahu dan neneknya di sebuah rumah di Tanjung Labian.
Saksi itu berkata, ia adalah luar biasa kerana orang yang tinggal dalam bot adalah sinonim dengan orang Pala’u (gipsi laut).
Merujuk kepada kenyataan itu lagi, Mohd Asran bersetuju bahawa Kadir memberitahu pasukan PGA di mana dia ditangkap mereka boleh mengikutnya ke rumah neneknya jika mereka meragui penjelasannya.
Bagaimanapun, saksi itu tidak bersetuju dengan bahagian dalam kenyataan yang mendakwa pasukannya mencadangkan kepada Kadir bahawa ikan itu dibawa ke Kampung Tanduo.
Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, menghadapi pelbagai pertuduhan berkaitan pencerobohan oleh kumpulan militan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Antara pertuduhan yang mereka hadapi adalah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, menganggotai kumpulan pengganas, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas yang didakwa dilakukan antara 12 Februari hingga 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Isnin ini. – BERNAMA