Seramai 20 kakitangan stesen televisyen Bernama TV (BTV) kini bercuti mandatori selepas bekerja selama lebih sebulan tanpa dibayar gaji.
Menurut sumber dari seorang kakitangan lelaki yang dipetik Malaysiakini, dia sudah tidak pergi bekerja sejak Isnin lepas kerana sudah tidak mampu membiayai perjalanannya ke pejabat.
Kali terakhir para kakitangan itu menerima gaji mereka ialah pada 20 Oktober lepas, dan mereka masih belum dibayar gaji untuk bulan November.
MENARIK – Bernama TV Perlu Berbahasa Inggeris SepenuhnyaÂÂ
“Saya mempunyai wang yang cukup-cukup untuk menyara isteri dan anak-anak saya tetapi tidak untuk pergi dan balik kerja,” menurut sumber yang enggan didedahkan namanya.
Menurut laporan laman web kl.coconuts.co pula, mereka yang tidak dibayar gaji terdiri daripada wartawan, pembantu penerbit dan juga kru studio.
Seorang lagi kakitangan BTV berkata, pihak pengurusan pada mulanya mengatakan gaji akan dibayar pada minggu ini tetapi kemudian ia ditunda ke minggu depan.
Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datuk Zulkefli Salleh berkata mengakui terdapat sedikit kelewatan dalam pembayaran gaji dan ia akan diselesaikan secepat mungkin.
“Kami sudah pun memasukkan bayaran permulaan, dan kesemua baki gaji akan diberikan selewat-lewatnya minggu depan (minggu ini),” katanya.
Di BTV, majoriti kakitangannya dilantik oleh syarikat Bernama TV Synergy Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat swasta.
Kira-kira 25 orang kakitangan BTV merupakan penjawat awam yang dilantik oleh BERNAMA yang memiliki pegangan 33 peratus saham dalam stesen televisyen itu tidak mengalami masalah pembayaran gaji.
Ini bukan kali pertama BTV lewat dalam soal pembayaran gaji. Sebelum ini masalah sama berlaku pada Julai, Ogos dan September.
Bulan lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek telah campur tangan dan berjanji akan menyelesaikan perkara itu menjelang hujung tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Jailan Johari sebelum ini telag membuat pengumuman di Parlimen bahawa BTV akan disuntik dengan RM20 juta dana bagi kerja-kerja naik taraf teknikal.
Pihak kementerian juga merancang untuk mengubah format penyiaran BTV dan menjadikan ia siaran televisyen dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya tahun depan. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KÂÂ