ROM – Tentera Itali semalam menyatakan pihaknya selesai memindahkan semua penumpang dan kebanyakan kru feri Norman Atlantic yang terbakar di perairan Pulau Corfu, Greece.
Feri berkenaan hanyut di Laut Adriatik sejak terbakar awal pagi kelmarin.
Menurut tentera Itali, kini cuma terdapat kumpulan kru yang terdiri daripada sembilan lelaki masih berada di atas Norman Atlantic yang akan ditunda ke sebuah pelabuhan.
Sebelum itu pasukan penyelamat yang bekerja sepanjang malam kelmarin berjaya mengeluarkan seramai 265 penumpang itu lebih 200 lagi masih terkandas.
Kru beberapa buah helikopter dilihat perlahan-lahan mengangkat penumpang dari dek feri Norman Atlantic tersebut yang membawa seramai 478 penumpang itu yang hanyut di laut bergelora antara Greece dan Itali.
Seorang pegawai tentera laut berkata, satu pasukan perubatan dan seorang pengendali penerbangan berada di atas kapal tersebut untuk membantu usaha membawa keluar baki penumpang feri itu.
Operasi menyelamat itu dikoordinasi dari sebuah kapal pengangkut, San Giorgio milik Itali dan pihak berkuasa juga mula menunda feri Norman Atlantic ke bandar pelabuhan Brindisi di selatan Itali.
Feri Norman Atlantic yang disewa oleh sebuah syarikat pengendali feri Greece, Anek Lines terbakar ketika berlayar antara perairan barat Greece ke Ancona di Itali kelmarin, menyebabkan tujuh orang maut. – Reuters