Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Dr Roland Chia dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan telah meletakkan jawatan sebagai ADUN akan membuat pengumuman tentang jawatannya sebagai wakil rakyat selepas Krismas.
Beliau sebelum itu di laman Facebooknya pada 17 Disember lepas, berkata akan meletakkan jawatan sebagai ADUN kerana masalah kesihatan.
Hari ini, beliau menulis status Facebook terbaharu mengatakan beliau berada di luar negara dan pengumuman akan dibuat secara rasmi selepas sambutan perayaan itu.
MENARIK – ADUN PKR Inanam Umum Letak Jawatan Menerusi FB, Twitter?
Dr Chia,44, seorang doktor pakar pergigian dilahirkan di Tawau, Sabah merupakan sebahagian daripada penyandang 12 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Sebelum ini, nama beliau disebut-sebut akan meninggalkan PR tetapi kemudian beliau membuat kenyataan menafikan perkara itu.
Biarpun Dr Chia mendakwa akan berundur atas sebab masalah kesihatan, spekulasi mengatakan wujud isu lain iaitu masalah hubungan beliau dengan Pengerusi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin, tetapi sekali lagi dinafikan Dr Chia.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata peletakan jawatan Dr Chia adalah disebabkan masalah kesihatan yang serius berdasarkan sekeping surat daripada wakil rakyat itu.
Dalam surat berkenaan, beliau sudah pun menyuarakan hasrat kepada PKR untuk meletakkan jawatan.
Rafizi berkata, pihak PKR akan membuat keputusan berkenaan kedudukan Dr Chia sebagai sahaja beliau kembali daripada luar negara.
“Kedudukan beliau sebagai Adun Inanam akan kekal seperti status quo,” kata Rafizi.
Sementara itu, Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said berkata pejabatnya masih belum menerima sebarang surat peletakan jawatan daripada Dr Chia dan tiada kekosongan kerusi bagi DUN Inanam.
Dr Chia menang dengan majoriti 3,202 undi menewaskan calon Barisan Nasional daripada Parti Bersatu Sabah, Joseph Lantip serta calon Parti Progresif Rakyat Sabah, Datuk Eric Majimbun. – MYNEWSHUB.CC