Bagi mereka yang pernah melalui zaman kanak-kanak sekitar tahun 90-an, pasti anda pernah menonton program Teletubbies yang cukup popular pada ketika itu.
Selain daripada empat watak Teletubbies yang bernama Tinky-Winky, Dipsy, Laa Laa dan Po itu, terdapat satu lagi watak yang cukup diingati oleh para peminat siri itu iaitu ‘bayi matahari’.
Bagaimanapun, identiti pelakonnya tidak diketahui sehinggalah dia mendedahkannya selepas 19 tahun berlalu, baru-baru ini.
Jess Smith, dari Chatham, Kent merupakan pemegang watak ‘bayi matahari’ itu ketika berusia sembilan bulan dan rahsia itu hanya diketahui oleh keluarganya dan rakan terdekat sebelum ini.
Dia mengambil keputusan untuk memberitahu kepada umum mengenai wataknya itu selepas mendapat sokongan oleh rakan-rakan universitinya yang mengetahui perkara itu.
Ia sekaligus menafikan khabar angin yang mengatakan watak ‘bayi matahari’ itu dipegang oleh seorang pelakon drama, Jessica Smith.
Apa yang melucukan, walaupun wajahnya cukup terkenal di seluruh dunia, Jess sebenarnya hanya dibayar sebanyak £250 (RM1360.11) dan diberi sekotak permainan.
“Tiada siapa menyangka rancangan itu akan jadi sepopular itu, jadi kami tidak ditawarkan royalti,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengakui yang dirinya cukup bangga dengan watak itu dan tidak pernah berkecil hati dengan bayaran yang diterimanya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: ELZA