GOLONGAN selebriti pastinya tak dapat lari daripada dakwaan liar yang dibuat terhadap mereka kerana sudah menjadi lumrah dan asam garam dalam kehidupan glamor mereka.
Yang terbaharu, penyanyi Akim Ahmad pula dituduh mengambil bahan terlarang ketika beraksi dalam keadaan ‘lalok’ atau di bawah pengaruh dadah semasa menjayakan persembahan separuh akhir Muzik-Muzik minggu ketiga, Jumaat lalu.
Namun Akim pantas menafikan perkara tersebut dengan mengatakan tuduhan itu adalah satu fitnah semata-mata.
“Sudah-sudahlah memfitnah saya. Janganlah mudah menghukum disebabkan karakter, gaya atau cara saya buat persembahan malam itu yang disalah ertikan. Tak bolehlah menilai saya hanya berdasarkan satu persembahan saja,” katanya memetik laporan sebuah akhbar tempatan.
Akim turut mengakui fitnah itu merupakan sesuatu yang menyedihkan untuk diterima kerana dia sudah berulang kali dikaitkan kononnya terbabit dalam penggunaan dadah.
“Saya sedar fitnah ada macam-macam jenis dalam dunia sekarang. Malah makin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Tapi terfikirkah mereka saya ada emak dan ayah yang tinggal bersama. Bagaimanalah penerimaan mereka apabila saya dikaitkan dengan benda macam ini?,” katanya.
Selain dirinya dituduh lalok ketika menjayakan persembahan, keadaan tubuh badannya yang turun mendadak turut dikaitkan dengan pengambilan bahan terlarang itu.
Hai, sabar je la Akim, kalau betul tak ambil benda tu, tak ada apa yang perlu dirisaukan.
Tak perlu ambil kisah cakap-cakap orang yang tak betul tu, yang penting teruskan berkarya memandangkan Akim pun baru sahaja menerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi MACP! – MYNEWSHUB.CC