Ramai rakyat Malaysia berasa terganggu apabila Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden cuba menjaga ‘tepi kain’ tanah air kita dengan luahan kebimbangannya terhadap penggunaan Akta Hasutan di negara ini, selain cuba ‘mengajar’ mahkamah kita cara menangani rayuan terakhir kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
BACA: Isu Anwar: KJ Balas Sindiran Naib Presiden AS Di Twitter
Tambah memburukkan keadaan, Duta AS ke Malaysia Joseph Y. Yun turut meluahkan ‘kehairanannya’ tehadap keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abd Razak mengekalkan Akta Hasutan (1948), ketika ditemu bual portal Malaysiakini.
Susulan itu, Wisma Putra mengarahkan Joseph Yun hadir ke kementerian hari ini, untuk menjelaskan kritikan yang dikeluarkan itu.
Menteri Luar Negeri Dato’ Sri Anifah Aman menerusi kenyataan media, turut meluahkan kekesalan atas komen tersebut memandangkan Akta Hasutan 1948 di negara ini tidak bermaksud menghalang proses demokrasi, sebaliknya dikekalkan untuk mencegah mana-mana pihak melakukan perbuatan berunsur hasutan yang boleh mencetuskan ketegangan agama dan kaum, sekaligus membahayakan perpaduan rakyat.
Anifah berkata, Kerajaan AS sepatutnya tidak campur tangan dan menghormati urusan dalaman Malaysia yang sudah tentu lebih maklum cara terbaik mengekalkan demokrasi, keamanan dan kestabilannya.
Kenyataan media hari ini turut mengingatkan semua pihak, keputusan tentang Akta Hasutan 1948 adalah urusan dalaman Malaysia. Meskipun ia mencetus minat banyak pihak luar untuk mengikuti perkembangannya; sebarang komen tidak wajar yang dikeluarkan samalah maksudnya dengan cubaan campur tangan urusan dalaman negara lain.
Sesungguhnya Kerajaan Malaysia sudah pasti lebih maklum dan komited mahu mengekalkan keamanan, stabiliti dan keharmonian yang dikecapi negara yang punyai penduduk berbilang bangsa, agama dan budaya ini.
Justeru negara ini tidak mengharapkan tunjuk ajar daripada pihak luar cara untuk menangani urusan dalamannya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: REM RAMZI