KUALA LUMPUR – Seniman filem Melayu klasik, Datuk Mustapha Maarof, 79, meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, di sini, jam 8.38 pagi tadi.
Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof meninggal di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas dua minggu mendapatkan rawatan akibat penyakit paru-paru.
Jenazah akan disempurnakan di hospital dan disembahyangkan di Masjid Sentul sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang yang dijangka selepas Zuhur.
Suami kepada Allahyarhamah Roseyatimah dikenali dengan filem seperti Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.
Profil
1) Datuk Mustapha Maarof dilahirkan pada 1 Januari 1935. Berasal dari Kuala Lumpur dan kini berusia 79 tahun.
2) Memulakan kerjaya lakonan di era 50-an.
3) Sebelum menikahi Allahyarhamah Roseyatimah, Mustapha pernah memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Suzlynna. Namun perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun 1965.
4) Mustapha dan Allahyarhamah Roseyatimah mendirikan rumah tangga pada 1967, dikurniakan tiga anak iaitu Azlynna, Mohamad Rezainuddin dan Mohammed Khairuddin, namun Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat denggi ketika berusia tiga tahun.
5) Sudah berlakon lebih 50 filem dan beratus-ratus drama televisyen, sama ada di Malaysia mahupun Singapura, kini lebih aktif bekerja di sebalik tabir sebagai produser drama dan iklan komersial serta video korporat menerusi Warna Motion Pictures.
6) Selain itu, beliau juga sibuk dengan aktiviti berpersatuan. Pernah menerajui Persatuan Seniman dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah FINAS. – BH Online
https://www.youtube.com/watch?v=ZSqocdyNHVo