KISAH tetamu membungkus makanan atau ‘tapau’ selepas menghadiri jamuan sememangnya sudah jadi kebiasaan, malah ia dapat mengelakkan makanan disediakan tuan rumah yang berlebih, terbuang begitu sahaja.
Jika di pejabat, aktiviti menapau ini biasanya dilakukan oleh kakitangan bawahan dan jarang sekali oleh orang atasan.
Bagaimanapun, penulis Shahbudin Husin menerusi blognya telah berkongsi kisah ‘kurang enak’ mengenai orang atasan bergelar Datin di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya, yang didakwanya kerap ‘songlap’ makanan jamuan secara halus.
Dek kerana itulah, wanita ini mendapat gelaran ‘Datin Tapau’ di kalangan kakitangan jabatan tersebut.
Apa tidaknya, setiap kali mesyuarat diadakan, Datin ini akan meminta kakitangan membuat tempahan melebihi jumlah kehadiran.
“Misalnya, jika yang hadir mesyuarat seramai 20 orang, maka akan diminta membuat tempahan makanan untuk 30 orang daripada hotel.
“Maknanya, 20 hidangan untuk keperluan mesyuarat manakala yang 10 lagi untuk keperluan peribadi bos bergelar Datin itu. Sudah tentu semua bil jamuan dibayar melalui peruntukan kerajaan,” tulisnya.
Menariknya, ‘Datin Tapau’ itu mahu bahagiannya dihantar lebih awal sebelum mesyuarat bermula, sekaligus menyebabkan pihak katering kelam-kabut kerana perlu menyediakan dan menghantar makanannya terlebih dahulu.
“Apa yang merisaukan petugas hotel berkenaan adalah makanan yang ditapau bukan saja hidangan tengahari atau minum petang, bahkan termasuk juga sarapan pagi.
“Mereka bimbang, jika hidangan sarapan pagi misalnya dibawa pulang ke rumah oleh Datin tersebut setelah tamat waktu pejabat, ianya mungkin terdedah kepada keracunan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan,” tambah Shahbudin.
Sebenarnya, apa yang lebih menjengkelkan ialah makanan yang ditempah itu menggunakan duit kerajaan, sekaligus memperlihatkan Datin itu cuba mengambil kesempatan.
Kalau setakat menapau lebihan makanan jamuan, mungkin tiada siapa yang akan mengungkit. Ini tidak.. secara terang-terangan membuat tempahan untuk kegunaan peribadinya dan entah mahu dibawa ke mana.
“Nafsu rupa-rupanya tidak mengenal rupa, darjat, kedudukan dan harta,” akhiri tulisan sinis tersebut. – MYNEWSHUB.CC
VIDEO MAKCIK TAPAU MAKANAN MAJLIS
Oleh: ELZA
(Sumber: Shahbudin dot com)ÂÂ