KUALA TERENGGANU – Dek kerana cemburu, seorang lelaki bertindak memarahi dan membelasah jandanya meskipun mereka sudah berpisah secara sah sebelum ini.
Tidak cukup dengan itu, suspek yang berusia 30-an itu turut bertindak membuat kacau di tempat kerja mangsa, selain tergamak mengeluarkan kata-kata ugutan akan mencederakan dan membunuh bekas isterinya itu, gara-gara berang wanita itu tidak mahu mengikut kehendaknya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu, suspek dikatakan telah datang ke tempat kerja mangsa di sebuah kedai keropok, di sini, sebelum mengajak mangsa keluar dengan menaiki kereta pacuan empat roda dipandunya.
Menurut sumber, mangsa yang berusia 37 tahun itu mengambil keputusan mengikuti sahaja kehendak bekas suaminya kerana tidak mahu suspek membuat kacau di tempat kerjanya selain malu dengan rakan sekerja termasuk majikannya.
“Bagaimanapun, setibanya mereka di Jalan Gong Tok Nasek, di sini, suspek telah meminta mangsa menyerahkan telefon bimbitnya dengan alasan mahu memeriksa sekiranya ada sesiapa menghubungi atau menghantar SMS kepada mangsa.
“Namun, mangsa enggan menuruti kehendak suspek menyebabkan dia mula berang lalu mengugut akan mencederakan bekas isterinya itu sebelum mengambil keputusan menghantar semula mangsa ke tempat kerja,†katanya.
Kata sumber lagi, bagaimanapun suspek yang masih tidak berpuas hati mula membuat kecoh di tempat kerja mangsa dengan membunyikan hon bertalu-talu menyebabkan suasana bising.
“Malu dengan sikap bekas suaminya itu, mangsa mengambil keputusan mengadu kepada majikannya menyebabkan suspek segera beredar dari situ,†katanya.
Jelasnya, namun kelegaan mangsa selepas melihat bekas suaminya itu beredar tidak bertahan lama apabila suspek kembali semula ke tempat kerjanya kira-kira 15 minit kemudian, dan kali ini membawa bersama anak mereka yang tinggal dengan suspek, sambil membuat kecoh.
“Kali ini, suspek bertindak lebih agresif apabila menjerit-jerit sehingga menyebabkan majikan mangsa terpaksa masuk campur sebelum suspek beredar dari situ,†katanya.
Sebelum ini, Khamis minggu lalu, kira-kira jam 8.30 malam, sumber berkata, suspek turut bertindak memarahi dan memukul bekas isterinya itu di kepala semasa bertandang ke rumah mangsa.
Bimbang akan ugutan bekas suaminya dan tindakan suspek yang memukulnya, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan tindakan diambil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan menjelaskan kes masih dalam siasatan. – Sinar Harian Online
VIDEO LAIN….
Setelah kematian suaminya, janda 55 tahun ini harus menanggung seluruh tanggung jawab kehidupan