KUALA LUMPUR – Majlis penyampaian ‘Anugerah Kampung Boy’, anugerah khas bagi mengiktiraf bakat kartunis tempatan bakal diadakan pada pertengahan tahun hadapan.
Exco Kelab Kartunis Malaysia (KKM) Ahmad Hilmy Abdullah berkata anugerah bagi menghargai dan menyokong karya seni kartunis di Malaysia itu adalah gabungan ilham ikon kartunis Malaysia Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat bersama kartunis-kartunis seluruh negara.
“Sekarang kita lihat banyak pembabitan kartunis dan animator yang semakin ramai mewarnai industri seni dan kini sudah tiba masanya kita menghargai peranan dan mengiktiraf sumbangan serta jasa para kartunis dalam membantu membangunkan perpaduan masyarakat melalui karya mereka,” katanya selepas pelancaran Anugerah Kampung Boy pada Majlis Himpunan Kartunis 2014 di Subang Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai anugerah itu, Ahmad Hilmy berkata satu jawatankuasa yang dianggotai oleh kartunis tempatan akan bermesyuarat pada awal tahun hadapan bagi menentukan pihak yang layak menjadi juri dan menilai calon-calon kartunis, pelukis komik serta animator.
Ditanya mengenai kriteria yang akan diletakkan dalam pemilihan calon anugerah tersebut, beliau berkata ia akan dinilai melalui pencapaian, sumbangan serta impak karya yang dihasilkan terhadap masyarakat Malaysia keseluruhannya.
“Apa yang penting dalam penilaian ini ialah penerapan mesej-mesej yang baik melalui karya mereka kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Lat berkata kewujudan anugerah itu nanti akan menjadi pendorong kepada kartunis tempatan untuk terus menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu sekali gus memartabatkan profesion kartunis.
“Anugerah ini adalah sebagai dorongan kepada kartunis baharu dan saya percaya melaluinya akan lebih ramai anak-anak muda akan mula melibatkan diri dan merancakkan lagi industri seni tanah air,” katanya.
Beliau sebelum itu turut melancarkan komik ‘Anthologykapalooza’ hasil karya sekumpulan kartunis muda pada Majlis Himpunan Kartunis 2014 itu. – BERNAMA