LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan tiga nelayan tempatan di perairan luar pantai Brunei, semalam selepas bot mereka mengalami masalah enjin.
Ketua Penguatkuasaan APMM, Kapten Che Adnan Md Isa, berkata agensi itu menerima panggilan kecemasan tentang kehilangan sebuah bot dan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi menyelamat berlangsung selama kira-kira 10 jam. Bot berkenaan didapati mengalami masalah enjin dan tiga nelayan terbabit hanyut selama kira-kira 12 jam,” katanya.
Che Adnan berkata, nelayan terbabit meneruskan kegiatan menangkap ikan setelah enjin bot mereka dibaiki.
Beliau menasihati nelayan dan pemilik bot supaya sentiasa memastikan bot masing-masing berkeadaan baik sebelum keluar menangkap ikan. – BERNAMA