KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), hari ini mengumumkan agihan pendapatan 6.45 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2014, sama seperti agihan pendapatan tahun lepas.
Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sejumlah RM107.57 juta, dan akan memberi manfaat kepada 1.26 juta pemegang unit yang kini memiliki sejumlah 1.66 bilion unit ASN.
“Sehingga 22 Dis, ASN mencatat pendapatan kasar RM138.99 juta,” katanya pada sidang media selepas pengumuman dividen itu di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata ASNB boleh membayar dividen sehingga 11.2 sen seunit, namun setelah menimbang aliran menurun pasaran saham, lembaga pengarah memutuskan membayar agihan 6.45 sen seunit.
Dalam tempoh 31 Dis tahun lepas hingga 22 Dis tahun ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 6.6 peratus.
Pasaran tempatan susut disebabkan harga komoditi yang rendah, terutama minyak sawit mentah dan minyak mentah, yang turun dengan ketara.
Hamad bagaimanapun berkata aliran menurun dalam pasaran saham membuka peluang untuk pengurus dananya membangunkan strategi baharu dan berkesan dalam meningkatkan portfolio dana.
Beliau berkata penurunan di pasaran saham akan membolehkan pengurus dana memilih saham yang sesuai dengan portfolio dana, selain memastikan pendapatan yang kukuh dan berterusan.
“Masyarakat pelabur di Malaysia, terutama pelabur unit amanah, biasanya memilih unit-unit amanah berharga tetap, namun secara keseluruhannya tahun ini, portfolio untuk ASN 2, ASN 3 dan Amanah Saham Gemilang (ASG) yang harganya berubah-ubah, telah bertambah dengan ketara.
“Portfolio ASN 2 bertambah 381 peratus sepanjang 2014, ASN 3 meningkat 441 peratus manakala ASG 178 peratus, sedangkan unit amanah berharga tetap masih lagi dalam lingkungan pertumbuhan 4-9 peratus,” katanya. – BERNAMA