KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor meminta penduduk negeri itu melakukan solat hajat selepas solat Jumaat pada 2 Januari 2015 bagi memohon supaya musibah banjir kembali pulih dan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, solat hajat itu ditujukan untuk negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Selangor.
“Satu mesyuarat khas bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diadakan dan kami telah bersetuju membuat kutipan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir kali ke-2 pada Jumaat ini di masjid-masjid seluruh Selangor.
“Ia sebagai sokongan moral kepada mangsa-mangsa banjir. Kutipan pertama telah dibuat pada 26 Disember lalu dan hasil kutipan sumbangan tersebut akan segera diserahkan kepada negeri terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Yunus turut memaklumkan, kerajaan Selangor akan bekerjasama dengan Yayasan Amal Malaysia untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
“Kerajaan Selangor telah mengiktiraf Yayasan Amal Malaysia (YAM) sebagai koordinator untuk menyelaras petugas-petugas sukarelawan ke negeri-negeri terlibat,” katanya. – mynewshub.cc