KUALA LUMPUR – Banjir teruk yang melanda Pantai Timur turut memberi kesan kepada golongan peniaga dalam talian apabila barangan jualan mereka berdepan masalah penghantaran.
Menurut seorang peniaga dalam talian yang mengedar produk kesihatan, Norida Darus, jualannya agak merosot kerana kebanyakan pelanggannya dari Kelantan dan Terengganu.
Norida yang tinggal di Shah Alam berkata ramai pelanggannya mengeluh kerana kehabisan stok makanan tambahan dan syarikat Pos Malaysia Berhad pula tidak dapat membuat penghantaran setelah hubungan jalan raya terputus.
“Sebelum ini setiap hari tidak kurang daripada 10 orang pelanggan saya membuat pesanan tetapi sejak kawasan Pantai Timur dilanda banjir, hanya empat orang pelanggan sahaja yang berurusan.
“Disebabkan saya seorang stokis, maka ejen-ejen saya di Pantai Timur tidak mendapat bekalan dan apa yang menyedihkan kebanyakan mereka menjadikan perniagaan ini sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Seorang peniaga batik Kelantan dan Terengganu di Shah Alam, Wan Mohamad Saifan Wan Sulaiman berkata beliau mengalami masalah bekalan produk ekoran banjir di Pantai Timur.
“Saya mendapatkan bekalan kain pasang (batik) di Kuala Terengganu tetapi buat masa ini saya terputus bekalan kerana tiada perkhidmatan penghantaran dilakukan buat masa ini akibat kawasan di Pantai Timur dilanda banjir teruk, ” katanya.
Dalam pada itu Pos Malaysia Berhad dalam portal rasminya www.pos.com.my mengumumkan penutupan sementara pejabat Pos di cawangan-cawangan terlibat dengan banjir.
Syarikat itu memohon maaf di atas sebarang kesulitan dan menyiarkan perkembangan mengenainya perkhidmatan pejabat-pejabat pos terlibat dalam laman portalnya.
Bencana banjir yang melanda negeri di Pantai Timur sejak minggu lepas bertambah buruk mengakibatkan beberapa jalan terputus hubungan serta penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. – BERNAMA