KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa semua pihak dalam pakatan pembangkang memberi tumpuan terhadap isu yang lebih penting berbanding terlalu banyak bercakap tentang rancangan PAS untuk melaksanakan undang-undang hudud di kelantan.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, perbezaan pendapat parti pembangkang tentang pelaksanaan hudud wujud sejak era Barisan Alternatif dalam tahun 1999 tetapi yang perlu diutamakan adalah isu kebajikan rakyat.
“Saya menyeru supaya semua pimpinan pakatan kembali kepada perjuangan membela kebajikan dan kepentingan rakyat bersabit isu-isu yang mendesak termasuk beban sara hidup, rasuah dan penyelewengan, kemelut ekonomi manipulasi agama dan perkauman serta salah guna undang-undang.
“Keutamaan ini telah menajdi amanah rakyat kepada kita,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Rafizi memaklumkan sekretariat pakatan pembangkang sedang mendapatkan draf enakmen yang bakal dibentangkan oleh kerajaan Kelantan berhubung undang-undang hudud dengan segera.
Jelasnya, langkah itu bertujuan membolehkan PKR dan pemimpin pakatan pembangkang lain menilai sendiri cadangan kerajaan Kelantan itu sebelum sebarang kenyataan lanjut dibuat.
“Saya menasihati pimpinan PKR supaya berhati-hati di dalam membuat kenyataan mengenai polemik ini supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan. Sebarang keputusan dan pendapat mengenai polemik ini perlulah merujuk kepada keputusan majlis presiden pakatan,” katanya.