Seorang bayi perempuan baru berusia dua bulan meninggal dunia disebabkan tersedak susu di rumahnya di Kampung Che Deris, Kota Bharu, Kelantan pukul 5 pagi tadi.
Bayi itu, Nik Norainun Mardiah sedang tidur pada awalnya sebelum bapanya, Nik Norazahari Nik Ibrahim, 27, menyedari anak bongsu daripada dua beradik itu sudah tidak bernafas lagi.
Menurut bapanya itu, anaknya itu bangun untuk menyusu badan antara pukul 3 ke 4 pagi, menurut laporan laman web Harian Metro.
MENARIK – Bayi 6 Bulan Tertelan Pisau Lipat Di India
“Selepas isteri saya Marfuzah Ibrahim yang berusia 27 tahun menyusukannya, kedua-duanya tidur semula.
“Kami tidak sedar sehinggalah 5 pagi saya bangun dan melihat mulutnya penuh susu, manakala hidungnya berhingus,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Bapa dua anak itu berkata reda dengan kejadian berlaku dan jenazah Nik Norainun Mardiah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Deris, pagi tadi. – MYNEWSHUB.CC