BEIJING – Kerajaan Pusat China akhirnya pada hari ini bersetuju meluluskan rancangan pembinaan sebuah lagi lapangan terbang terbaharu dan ketiga untuk ibu negara Beijing yang bakal beroperasi sepenuhnya pada 2018, lapor akhbar rasmi pemerintah, China Daily.
Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Kebangsaan, projek 80 bilion yuan (RM45 bilion) itu terletak 46 kilometer selatan Dataran Tiananmen di daerah Daxing serta mampu menampung 72 juta penumpang menerusi 620,000 penerbangan setahun.
“Ia dijangka atasi isu kelewatan penerbangan sering dialami Beijing Capital setiap kali musim panas dan beri faedah kepada penduduk selatan Beijing yang tiada akses lapangan terbang,†kata Prof. Cao Yuncun dari Jabatan Penerbangan Awam, Universiti China.
Beijing ada dua lapangan terbang bermula Beijing Nanyuan di daerah Fengtai iaitu paling tua di China sejak 1910 tetapi saiz terminal amat kecil sebelum diganti Beijing Capital yang dibuka pada 1958, terletak 32 kilometer di utara ibu kota iaitu daerah Chaoyang.
Beijing Capital kini mengendalikan kira-kira 84 juta penumpang setiap tahun sekali gus menjadi lapangan terbang kedua paling sibuk di dunia selepas Hartsfield-Jackson di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat yang menguruskan lebih 95 juta penumpang setahun.
Lapangan terbang ketiga Beijing itu yang berkeluasan 700,000 meter persegi turut direka mampu menangani dua juta tan kargo setahun serta mengandungi 150 parkir pesawat penumpang dan 24 parkir pesawat kargo selain 14 parkir penyelenggaraan pesawat.
Projek diurus syarikat milik kerajaan, Capital Airports Holdings yang mengurus Beijing Capital juga akan dihubungkan dengan landasan kereta api laju sejauh 66 kilometer dan mengambil masa hanya 30 minit untuk tiba di pusat bandar raya Beijing. – Agensi