KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Eksekutif Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Dr Ani Arope meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya hari ini.
Allahyarham Ani, 82, meninggal dunia sebelum Subuh kerana penyakit kanser prostat, menurut cucunya Suraya Ali, 32, yang dihubungi Bernama.
Dilahirkan pada 17 Mei 1932 di Sungai Bakap, Seberang Prai, Pulau Pinang, Allahyarham meninggalkan seorang isteri Puan Sri Saenah Ahmad dan tiga anak selain anak angkat.
Jenazah dibawa ke Balai Islam TNB di Bangsar pagi ini dan dijangka dikebumikan di Shah Alam tengah hari ini.
Allahyarham merupakan pengerusi eksekutif TNB dari 1992 hingga 1996 selain pernah menerajui beberapa syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan pelbagai organisasi.
– BERNAMA