Belum pun bermula Persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM), nampaknya ada Ahli PBM sudah mula menunjukkan sifat ala diva politik atau VVIP.
Manakan tidak, gambar nombor plat kereta disertakan dengan lambang Ahli Parlimen Belia yang mirip plat VIP Ahli Parlimen Malaysia, kini tersebar di laman sosial Twitter dan Facebook.
MENARIK – Tiada Unsur Penipuan Dalam Pemilihan Parlimen Belia
Laman Facebook PBM hari ini mengeluarkan kenyataan, pihak Sekretariat PBM tidak mengeluarkan lambang berkenaan dan tidak pernah menggalakkan mana-mana anggota PBM untuk menggunakannya.
“Sekretariat telah memaklumkan kepada anggota PBM tersebut untuk berhenti menggunakan lambang itu serta-merta.
“Parlimen Belia merupakan sebuah program di bawah Kementerian Belia dan Sukan untuk mengetengahkan lagi suara-suara belia, bukan memberi platform bagi ahlinya memperaga jawatan,” menurut laman Facebook itu.
30 November lepas, Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin telah pun menyerahkan watikah pelantikan kepada 110 anggota PBM di ibu negara.
Justeru pengendali laman berkenaan memetik ucapan Khairy ketika penyerahan watikah pelantikan berkenaan, bahawa para anggota PBM perlu berkhidmat dengan penuh rasa rendah diri dan memberi fokus kepada impak positif untuk belia Malaysia.
“Diharapkan semua anggota PBM dapat memberikan fokus kepada impak cadangan dasar dan khidmat bakti demi kebaikan belia Malaysia,” katanya lagi.
Memanglah penggunaan lambang pada nombor plat kereta itu tidak menggambarkan keseluruhan Parlimen Belia.. tetapi sifat ‘diva politik’ nampaknya dah ada dalam diri anak muda itu padahal belum terpilih sebagai Ahli Dewan Rakyat pun. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KÂÂ