Buku Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Asing di Sabah akan dijual kepada orang ramai bermula esok pada pukul 9 pagi hingga 4 petang selagi stok masih ada.
Laporan berkenaan boleh dibeli dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris dengan harga RM100 senaskhah.
Ia boleh dibeli di Pejabat Setiausaha Ketua Menteri Sabah di Kota Kinabalu dan Pusat Sehenti Kementerian Dalam Negeri (Blok D1, Kompleks D) di Putrajaya.
Hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa membentangkan laporan berkenaan kepada umum.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dalam lawatannya ke Sabah pada bulan lalu bahawa laporan RCI akan dijual kepada umum pada awal Disember.
Najib berkata panel khas yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan mengkaji cadangan-cadangan dalam laporan RCI itu.
Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk menubuhkan RCI kerana mendapat persetujuan mengalakkan di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) terhadap langkah susulan bagi menangani masalah tersebut.
Panel lima anggota dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong menghantar laporan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong dan Najib pada Januari lalu.
RCI yang ditubuhkan pada 2012 ditugaskan untuk menyiasat kebanjiran pendatang tanpa izin (Pati) di Sabah. - MYNEWSHUB.CC