KOTA TINGGI – Seorang lelaki warga Indonesia maut akibat terjatuh ketika membaiki atap kilang papan di Batu 9, Mawai, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Suprintendan Rahmat Othman, yang mengesahkan kejadian itu hari ini berkata Nur Kholiq, 42, berasal dari Blitar, Indonesia, merupakan pekerja buruh di kilang terbabit.
Pengurus kilang papan itu, Mok Tan Chai, 62, berkata kejadian berlaku selepas pekerja-pekerja kilang selesai waktu rehat makan tengah hari.
“Ketika mangsa mahu memulakan kerjanya, belum sempat memasang tali keselamatan, dia tergelincir lalu jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 36 kaki (10.97 meter),” katanya.
Mok kemudian melaporkan kejadian itu di Balai Polis Kampung Mawai yang terletak kira-kira 100 meter dari kilang itu.
Mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi selepas polis tiba.
“Pegawai perubatan mengesahkan punca kematian adalah kecederaan teruk di kepala. Penghantaran jenazah akan diuruskan oleh pihak syarikat ke negara asal,” katanya ketika dihubungi di sini. – BERNAMA