Seremban – Seorang lelaki berusia 42 tahun cedera di dahi, telinga dan kepala serta mengalami pendarahan di otak akibat terkena tembakan di pusat hiburan di Kemayan Square, di sini, pagi tadi.
Sumber polis berkata, dalam kejadian 4.24 pagi itu, pihaknya yang menerima panggilan awam bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan terdapat insiden tembak menembak di pusat hiburan itu.
Katanya, setibanya di lokasi mangsa yang dikenali sebagai Jepun Chai itu didapati mengalami kecederaan akibat tembakan itu dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini untuk rawatan lanjut.
“Buat masa ini motif tembakan masih disiasat dan siasatan turut mendapat terdapat tujuh kesan tembakan di premis berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan rekod mendapati mangsa memiliki rekod jenayah dan pihaknya kini memburu suspek mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh. – myMetro Online