BARCELONA – Cristiano Ronaldo mencatat rekod hatrik kali ke-23 dalam aksi La Liga ketika mengemudi kemenangan Real Madrid 3-0 ke atas Celta Vigo pada perlawanan di Bernabeu, awal pagi tadi.
Kemenangan itu menambah koleksi kemenangan juara Eropah itu kini kepada 18 kesemuanya dalam mana-mana pertandingan dan menyamai rekod pernah dicatat Barcelona antara Oktober 2005 dan Januari 2006.
Ronaldo menjadi inspirasi di sebalik prestasi cemerlang Real apabila membuka tirai jaringan dari kotak penalti pada sembilan minit sebelum rehat babak pertama selepas dijatuhkan oleh Jonny Castro.
Real melancarkan serangan bertali arus tetapi Celta masih mampu bertahan dengan mempamerkan corak permainan kemas.
Bagaimanapun, Ronaldo terlalu sukar disekat apabila merembat dari tengah kawasan penalti selepas minit ke-65 bagi menjadikan kedudukan 2-0 sebelum menambah gol ketiga dari jarak dekat sembilan minit sebelum wisel penamat.
Real kini mengumpul 36 mata selepas bermain 14 perlawanan, empat mata di hadapan Atletico dan lima mata mengatasi Barcelona yang akan menanti kunjungan Espanyol, hari ini. – Reuters