Huizhou – Ia merupakan detik-detik menakutkan bagi seorang gadis apabila teman lelakinya, Zheng Mengjie yang juga suspek kes curi telah menjadikan dia sebagai tebusan, dalam usaha mengelak diri daripada ditangkap polis.
Ketika kejadian, Zheng dikunjungi polis yang mahu menyiasatnya susulan dakwaan kes curi namun dia kemudiannya menggunakan pisau pemotong daging dan mengancam membunuh Xiu Shao, 23, jika mereka tidak melepaskannya.
Zheng , 26, juga mengarahkan polis keluar dari rumah terbabit atau Xiu akan mati ditangannya.
Menurut jurucakap polis, terdapat beberapa tuduhan ke atas Zheng melibatkan kes curi dan mereka ke rumahnya untuk membawa lelaki berkenaan ke balai polis bagi siasatan.
“Kita terpaksa memecah masuk ke rumahnya selepas dia enggan membuka pintu dan mendapati dia mengacukan pisau di leher gadis itu.
“Polis enggan mengalah dan terpaksa membuat keputusan segera selepas mendapati darah mengalir keluar dari leher gadis berkenaan yang luka akibat terkena pisau berkenaan.
“Dua anggota yang mendekatinya telah ditikam dengan cermin yang dipecahkannya,’’ katanya.
Susulan itu polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah Zheng dan terkena di dadanya.
Dia dibawa ke hospital namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
https://www.youtube.com/watch?v=h_Dms9Isf9I