BANGKOK, 16 Dis (Bernama) — Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berharap sentuhan ajaibnya menjadi apabila Malaysia menentang Thailand pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Rajamangala, di sini hari ini.
Malaysia tewas 1-2 kepada Vietnam dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 7 Dis lepas dan bangkit kembali dengan cemerlang dan menang selesa 4-2 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi, Vietnam empat hari kemudian.
“Diharap, kami akan mengulangi keajaiban itu (menentang) Thailand, esok. Secara jujur saya tidak menjangka anak buah saya akan beraksi dengan baik menentang Vietnam dan pada saya ia adalah petanda baik untuk pasukan kerana kami pernah tewas kepada Vietnam di gelanggang mereka,” kata Dollah kepada pemberita dalam sidang media pra-perlawanan, di sini hari ini.
Bekas jurulatih kelab Polis Diraja Malaysia itu berkata kapten pasukan Muhammad Shukor Adan dan penyerang berpengalaman Mohd Safee Mohd Sali yang pada awalnya dilaporkan cedera, telah kembali menjalani latihan dan kedua mereka bersedia untuk turun berjuang di dalam pertarungan epik itu esok.
Mengenai pasukan Thailand, Dollah mengakui skuad ‘Gajah Perang’ di bawah bimbingan bekas pemain antarabangsa negara itu, Kiatisuk Senamuang bukan lawan yang mudah tetapi beliau yakin anak buahnya akan memberikan yang terbaik.
Turut berkongsi pandangan Dollah, Mohd Safee yang berjanji mempamerkan persembahan terbaiknya dalam perlawanan esok.
“Semangat pemain masih tinggi untuk beraksi dalam perlawanan esok walaupun kami tahu ia adalah sukar. Apa yang penting, kami melakukan yang terbaik berhadapan Thailand yang tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan Kumpulan B (di Singapura) sebelum ini, ” kata penyerang Johor Darul Ta’zim itu.
Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Thailand, Choktawee Promrat berkata pemainnya sudah bersedia berhadapan Malaysia dan menjangka kemenangan berpihak kepada mereka.
“Kami menghormati mereka sebagai bekas juara (2010) tetapi saya masih yakin kami akan menang perlawanan esok, katanya sambil menambah Kiatisuk dijangka menurunkan kesebelasan utamanya.
Turut berkongsi pandangannya adalah penjaga gawang Thailand, Kawin Thamsatchanan yang mengakui bermain dua perlawanan akhir termasuk pada 2012 agak mengujakan tetapi mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah Harimau Malaya yang ingin menebus kekalahan 2-3 dalam perlawanan peringkat kumpulan di Singapura.
“Kami bermain dengan baik pada kejohanan tahun ini tetapi perlawanan yang kami harungi bukannya mudah. Diharap kami dapat bermain dengan baik di hadapan penyokong kami, kata pemain Muangthong United.
Malaysia dan Thailand akan bertemu dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, 20 Dis ini bagi menentukan juara edisi ke-10 kejohanan bola sepak dua tahun sekali itu. – BERNAMA