CHINA – Dua lelaki terselamat daripada kemalangan ngeri meskipun kereta mereka remuk selepas bertembung dengan sebuah lori pembancuh simen di bandar Chaohu.
Dalam kejadian itu, lori berkenaan telah melanggar kereta terbabit sebelum ia merempuh dinding.
Jika dilihat kepada kenderaan terbabit, memang mengejutkan apabila mendapati pemandu dan penumpang kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan langsung.
Seorang anggota bomba, Kong Mao berkata, ketika dia tiba di tempat kejadian, dia melihat kereta itu remuk teruk dan menyangka tiada siapa yang terselamat.
“Tetapi apabila kami mendapat panggilan telefon memohon bantuan, kami terkejut dan terpaksa menggunakan kren untuk menarik lori terbabit.
“Ketika itu kami yakin mangsa mengalami kecederaan parah,’’ katanya.
Kong berkata, mereka semua hampir tidak percaya apabila mendapati dua mangsa yang ditarik keluar dari kenderaan terbabit selamat, hanya mengalami kejutan.