Selepas kejadian nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas di perairan Selat Karimata Tenggara Belitung, terdapat empat lagi insiden kecil melibatkan pesawat AirAsia dari tiga buah negara.
Terbaru, sebuah pesawat AirAsia Filipina atau AirAsia Zest dilaporkan terbabas akibat terlajak landasan ketika mendarat di bandar Kalibo, Filipina sebentar tadi.
Pada hari QZ8501 dilaporkan hilang iaitu Ahad lepas, sebuah pesawat AirAsia di Malaysia yang dalam penerbangan dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi terpaksa berpatah balik kerana masalah teknikal.
MENARIK – Mayat Penumpang QZ8501 Terapung Turut Ditemui
Juruterbang pesawat AK6242 membuat keputusan berkenaan selepas 10 minit meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.
Kemudian, sebuah pesawat AirAsia Filipina pula mengalami kerosakan pada gear mendarat menyebabkan 184 orang penumpang pesawat itu cemas seketika.
Ia terjadi di bandar Tagbilaran di tengah negara itu.
Sejurus dikenalpasti, pesawat itu yang sepatutnya membawa 178 penumpang dan enam anak kapal membatalkan penerbangannya dan kerosakan dibaikpulih.
Kemudian hari ini, sebuah pesawat AirAsia Thailand yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarbangsa Don Mueang terpaksa berpatah balik ketika menuju destinasi ke arah Timur Laut Thailand kerana juruterbang mengesan sesuatu di luar kebiasaan di ruang simpanan pesawat.
Pesawat FD3254 itu mendarat kembali di lapangan terbang dan kemudian jurutera pesawat mendapati tiada masalah yang berlaku dan pesawat dibenarkan meneruskan jadual seperti biasa.
Adakah Juruterbang AirAsia Mula Takut?
Adakah kejadian pertama sebesar ini dalam sejarah 13 tahun AirAsia telah menyebabkan para juruterbang mereka ketakutan dalam mengendalikan pesawat atau mereka terlebih berhati-hati.
Sebenarnya, tidak mengapa andai juruterbang AirAsia memilih untuk berpatah balik kerana nyawa bukan sesuatu yang boleh diperjudikan.
Pada hemat penulis, mereka sebenarnya bertindak profesional dan bertanggungjawab dengan amanah yang digalas.
Sejajar dengan sikap yang dipertontonkan para juruterbangnya, pengurusan AirAsia sendiri perlu lebih peka kepada semua aspek keselamatan selepas ini.
AirAsia dibeli oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia ketika ini Tan Sri Tony Fernandes ketika syarikat itu pada awalnya menghadapi krisis hutang pada 2001 dengan hanya RM1 dengan bebanan hutang sebanyak ASD$11 juta Dolar Amerika (RM40 juta).
Dengan perancangan teliti, Tony berjaya mencipta keuntungan bagi AirAsia pada 2002 dan mula membentuk laluan penerbangan baru dari hub mereka di Kuala Lumpur.
Pada 2003, AirAsia sudah memiliki hub keduanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru dan melancarkan penerbangan pertama antarabangsanya ke Bangkok, Thailand.
Kini syarikat penerbangan milik Tony itu sudah memiliki 168 buah pesawat Airbus A320-200 sehingga bulan lepas sebagai pesawat membawa penumpangnya dalam penerbangan AirAsia.
Tony Akui Kehilangan QZ8501 Mimpi Ngeri
Sesungguhnya, pada sidang media Ahad lepas, Tony yang kini seorang Bilionair dengan kejayaan AirAsia mengakui peristiwa kehilangan pesawat QZ8501 sebagai satu ‘mimpi ngeri’ dalam hidupnya mengendalikan syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia itu.
Adakah kenyataan Tony itu telah menjadikan barisan juruterbang AirAsia di hampir kebanyakan negara Asia agak sedikit terganggu fokus mereka sehinggakan terjadinya perkara-perkara kecil selepas nahas QZ8501.
Pastinya pasukan AirAsia harus kembali menguatkan semangat dan fokus para kakitangan AirAsia khususnya juruterbang mereka yang bertanggungjawab menerbangkan pesawat Airbus A320-200 berkenaan.
Sebagai seorang yang mampu membawa AirAsia ke tahap kejayaan setinggi ini, pastinya Tony tahu dan sudah merancang di dalam kepalanya untuk kembali membetulkan keadaan seterusnya AirAsia boleh kembali beroperasi seperti hari-hari biasa sebelum saatnya pesawat QZ8501 terhempas. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=7bOkRoj389w
Oleh : IBNU KÂÂ